FALSAFAH PENGAJARAN


Hasil carian imej untuk teacher qoutes 



Mendidik atau mengajar, dua perkataan yang membawa maksud yang berbeza. Mendidik dalam erti kata menjadikan seseorang individu bukan sahaja mempunyai ilmu dunia bahkan mempunyai nilai-nilai seorang insan yang taat kepada Khalid-NYA. Mengajar pula lebih menyampaikan silibus kandungan akademik atau kursus yang telah dipertangunggjawabkan ke atas seorang individu yang bergelar pensyarah atau guru. Bertepatan dengan hadis

“Menginginkan Kebahagiaan Dunia-Akhirat Harus Wajib dengan Ilmu”

مَنْ أَرَا دَالدُّنْيَا فَعَلَيْهِ بِا لْعِلْمِ، وَمَنْ أَرَادَالْاآخِرَةَ فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ، وَمَنْ أَرَادَهُمَا فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ

Ertinya : ”Barang siapa yang menghendaki kehidupan dunia maka wajib baginya memiliki ilmu, dan barang siapa yang menghendaki kehidupan Akhirat, maka wajib baginya memiliki ilmu, dan barang siapa menghendaki keduanya maka wajib baginya memiliki ilmu”.(HR. Turmudzi)

Saya berpendapat sistem pendidikan kita mestilah berkemampuan untuk mendidik pelajar bukan sahaja berfikir secara logik bahkan mampu mempunyai pemikiran yang membina berasaskan falsafah pendidikan negara.

Menjadi tanggungjawab kita sebagai pendidik, untuk mengambil kira keperluan kepelbagaian individu ataupun keperluan masyarakat. Bersesuaian dengan matlamat pembangunan modal insan yang dihasratkan, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) digubal dengan visi untuk mentransformasikan pengajian tinggi dalam konteks menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi antarabangsa. Transformasi ini merupakan peletakan asas ke arah kegemilangan dan kelestarian pengajian tinggi melangkaui tahun 2020. Selaras dengan teras kedua Misi Nasional, negara perlu melahirkan modal insan yang memiliki minda kelas pertama untuk menghadapi cabaran pembangunan ekonomi yang berlandaskan ilmu pengetahuan dan inovasi. Modal insan yang dibangunkan perlu mempunyai keupayaan pengetahuan, kemahiran dan ciri-ciri peribadi yang unggul.

Setiap individu pelajar di dalam kelas kita itu, unik dari segi fizikal, pemikiran, sifat dan watak. Ini disebabkan kepelbagaian jantina, kaum, agama, asal tempat tinggal dan banyak faktor lain lagi. Perbedaan individu ini memberi reflek kepada kaedah dan hasil pembelajaran pelajar-pelajar. Oleh itu, sebagai pendidik kita juga berperanan sebagai pembimbing dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Menurut Wallace (1988) kepelbagaian murid terdapat dalam tahap prestasi, kadar belajar, gaya kognitif, etnik, budaya, kelas sosial, bahasa, jantina, bakat dan minat. Kepelbagaian kebolehan pelajar ini akan memberi implikasi secara langsung terhadap pensyarah dan pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Mewujudkan rasa hormat dan tiada buruk sangka, bekerjasama, berfikiran terbuka dan positif antara pelajar.

Mendidik atau mengajar telah menjadi sebati dengan kehidupan saya. Dunia kehidupan sebagai ibu dan pensyarah kepada anak-anak didik di politeknik bermula seusai umur 26 tahun. Berkhidmat di Jabatan Kejuruteraan Elektrik POLIMAS Jitra Kedah pada tahun 1999 selepas menamatkan pengajian peringkat Sarjana Pendidikan. Seterusnya meneruskan karier sebagai pensyarah kanan di UUM  pada Oktober 2014.

Falsafah diri saya sendiri “Genggam bara biar jadi abu”, “Nak seribu daya, Tak nak seribu dalih” dan “ Pasti ALLAH akan memberi kejayaan jika berusaha” diserapkan juga dalam diri pelajar-pelajar saya. Bagi mencapai falsafah tersebut apa yang diamalkan, sebelum aktiviti pengajaran dan pembelajaran bermula, 5 minit set induksi saya dimulakan kata-kata nasihat/motivasi/perkongsian. Saya percaya, semasa mengajar dan mendidik pelajar saya perlu sentiasa diingatkan berulang-ulang kali dan setiap hari. Kata-kata nasihat/motivasi/bekongsi atau sembang santai membolehkan saya menjalinkan satu hubungan rapat seperti anak dan ibu. Bahkan saya merasakan adalah menjadi tanggungjawab saya bagi pihak ibubapa/penjaga pelajar untuk sentiasa mengingatkan mereka. Ini lebih berkait rapat dengan teori pembelajaran humanis iaitu perbentukan nilai-nilai murni di dalam diri pelajar-pelajar saya. Memupukkan rasa hormat seorang anak kepada ibu dibandingkan rasa takut seorang pelajar kepada pensyarahnya.

Saya turut mengamalkan teori pembelajaran behaviouris yang mana pelajar-pelajar saya memperolehi ganjaran yang berbentuk markah yang cemerlang atau corot atas pembentukan persekitaran pembelajaran kendiri secara latih tubi. Konsep latih tubi ditekankan kepada pelajar-pelajar samada latihan di dalam kuliah atau selepas waktu kuliah.

Selain itu, melalui teori pembelajaran kognitif yang lebih memfokuskan aktiviti dalaman mental seperti berfikir, mengingati, mengetahui dan menyelesaikan masalah melalui soalan-soalan tutorial /peperiksaan lepas dibiasakan kepada pelajar mulai minggu kedua kuliah. Persekitaran pembelajaran berterusan disertakan latih tubi soalan-soalan tutorial/peperiksaan lepas membantu pelajar-pelajar saya memperolehi markah kerja kursus yang baik sebelum menjejaki kaki ke peperiksaan akhir. Membiasakan atau mendedahkan pelajar dengan soalan-soalan peperiksaan akan menjadikan mereka perihatin dan bersedia dengan pelbagai bentuk soalan.

Akhirnya dalam mencapai matlamat pengajaran dan pembelajaran, saya menerima perbezaan atau keperlbagaian individu pelajar supaya terus sabar semasa mengajar dan mendidik tanpa jemu sehingga akhir perkhidmatan saya. Harapan dan cita-cita saya ialah untuk melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai ilmu akademik dan akhlak yang cemerlang selaras dengan kehendak-NYA.



GENGGAM BARA API BIAR JADI ABU 

Comments