FALSAFAH PENGAJARAN
Mendidik
atau mengajar, dua perkataan yang membawa maksud yang berbeza. Mendidik dalam
erti kata menjadikan seseorang individu bukan sahaja mempunyai ilmu dunia
bahkan mempunyai nilai-nilai seorang insan yang taat kepada Khalid-NYA.
Mengajar pula lebih menyampaikan silibus kandungan akademik atau kursus yang
telah dipertangunggjawabkan ke atas seorang individu yang bergelar pensyarah
atau guru. Bertepatan dengan hadis,
“Menginginkan Kebahagiaan Dunia-Akhirat
Harus Wajib dengan Ilmu”
مَنْ أَرَا دَالدُّنْيَا فَعَلَيْهِ بِا لْعِلْمِ،
وَمَنْ أَرَادَالْاآخِرَةَ فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ، وَمَنْ أَرَادَهُمَا فَعَلَيْهِ
بِالْعِلْمِ
Ertinya
: ”Barang siapa yang menghendaki kehidupan dunia maka wajib baginya memiliki
ilmu, dan barang siapa yang menghendaki kehidupan Akhirat, maka wajib baginya
memiliki ilmu, dan barang siapa menghendaki keduanya maka wajib baginya
memiliki ilmu”.(HR. Turmudzi)
Saya
berpendapat sistem pendidikan kita mestilah berkemampuan untuk mendidik pelajar
bukan sahaja berfikir secara logik bahkan mampu mempunyai pemikiran yang
membina berasaskan falsafah pendidikan negara.
Menjadi
tanggungjawab kita sebagai pendidik, untuk mengambil kira keperluan
kepelbagaian individu ataupun keperluan masyarakat. Bersesuaian dengan matlamat
pembangunan modal insan yang dihasratkan, Pelan Strategik Pengajian Tinggi
Negara (PSPTN) digubal dengan visi untuk mentransformasikan pengajian tinggi
dalam konteks menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi
antarabangsa. Transformasi ini merupakan peletakan asas ke arah kegemilangan
dan kelestarian pengajian tinggi melangkaui tahun 2020. Selaras dengan teras
kedua Misi Nasional, negara perlu melahirkan modal insan yang memiliki minda
kelas pertama untuk menghadapi cabaran pembangunan ekonomi yang berlandaskan
ilmu pengetahuan dan inovasi. Modal insan yang dibangunkan perlu mempunyai
keupayaan pengetahuan, kemahiran dan ciri-ciri peribadi yang unggul.
Setiap
individu pelajar di dalam kelas kita itu, unik dari segi fizikal, pemikiran,
sifat dan watak. Ini disebabkan kepelbagaian jantina, kaum, agama, asal tempat
tinggal dan banyak faktor lain lagi. Perbedaan individu ini memberi reflek
kepada kaedah dan hasil pembelajaran pelajar-pelajar. Oleh itu, sebagai
pendidik kita juga berperanan sebagai pembimbing dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Menurut Wallace (1988) kepelbagaian murid terdapat dalam tahap
prestasi, kadar belajar, gaya kognitif, etnik, budaya, kelas sosial, bahasa,
jantina, bakat dan minat. Kepelbagaian kebolehan pelajar ini akan memberi
implikasi secara langsung terhadap pensyarah dan pelajar semasa proses
pengajaran dan pembelajaran. Mewujudkan rasa hormat dan tiada buruk sangka,
bekerjasama, berfikiran terbuka dan positif antara pelajar.
Mendidik
atau mengajar telah menjadi sebati dengan kehidupan saya. Dunia kehidupan
sebagai ibu dan pensyarah kepada anak-anak didik di politeknik bermula seusai
umur 26 tahun. Berkhidmat di Jabatan Kejuruteraan Elektrik POLIMAS Jitra Kedah
pada tahun 1999 selepas menamatkan pengajian peringkat Sarjana Pendidikan.
Seterusnya meneruskan karier sebagai pensyarah kanan di UUM pada Oktober 2014.
Falsafah
diri saya sendiri “Genggam bara biar jadi abu”, “Nak seribu daya, Tak nak
seribu dalih” dan “ Pasti ALLAH akan memberi kejayaan jika berusaha” diserapkan
juga dalam diri pelajar-pelajar saya. Bagi mencapai falsafah tersebut apa yang
diamalkan, sebelum aktiviti pengajaran dan pembelajaran bermula, 5 minit set
induksi saya dimulakan kata-kata nasihat/motivasi/perkongsian. Saya percaya,
semasa mengajar dan mendidik pelajar saya perlu sentiasa diingatkan
berulang-ulang kali dan setiap hari. Kata-kata nasihat/motivasi/bekongsi atau
sembang santai membolehkan saya menjalinkan satu hubungan rapat seperti anak
dan ibu. Bahkan saya merasakan adalah menjadi tanggungjawab saya bagi pihak
ibubapa/penjaga pelajar untuk sentiasa mengingatkan mereka. Ini lebih berkait
rapat dengan teori pembelajaran humanis iaitu perbentukan nilai-nilai murni di dalam
diri pelajar-pelajar saya. Memupukkan rasa hormat seorang anak kepada ibu
dibandingkan rasa takut seorang pelajar kepada pensyarahnya.
Saya
turut mengamalkan teori pembelajaran behaviouris yang mana pelajar-pelajar saya
memperolehi ganjaran yang berbentuk markah yang cemerlang atau corot atas
pembentukan persekitaran pembelajaran kendiri secara latih tubi. Konsep latih
tubi ditekankan kepada pelajar-pelajar samada latihan di dalam kuliah atau
selepas waktu kuliah.
Selain
itu, melalui teori pembelajaran kognitif yang lebih memfokuskan aktiviti
dalaman mental seperti berfikir, mengingati, mengetahui dan menyelesaikan masalah
melalui soalan-soalan tutorial /peperiksaan lepas dibiasakan kepada pelajar
mulai minggu kedua kuliah. Persekitaran pembelajaran berterusan disertakan
latih tubi soalan-soalan tutorial/peperiksaan lepas membantu pelajar-pelajar
saya memperolehi markah kerja kursus yang baik sebelum menjejaki kaki ke
peperiksaan akhir. Membiasakan atau mendedahkan pelajar dengan soalan-soalan
peperiksaan akan menjadikan mereka perihatin dan bersedia dengan pelbagai
bentuk soalan.
Akhirnya
dalam mencapai matlamat pengajaran dan pembelajaran, saya menerima perbezaan atau
keperlbagaian individu pelajar supaya terus sabar semasa mengajar dan mendidik
tanpa jemu sehingga akhir perkhidmatan saya. Harapan dan cita-cita saya ialah untuk
melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai ilmu akademik dan akhlak yang
cemerlang selaras dengan kehendak-NYA.
GENGGAM BARA API BIAR JADI ABU |
Comments